USTAZ RASUL BIN DAHRI
Kitab Di Mana Allah? Jahmiyah menafikan Allah di langit & menuduh Ahli Sunnah sebagai Mujassimah tulisan Ustaz Rasul bin Dahri – Jawapan Soalan Pertama – Muka Surat 53-63

TARIKH : Isnin (3 Mac 2014)
MASA : Selepas Maghrib
TEMPAT : Tingkat 14, Bangunan Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam

Antara wahyu yang diturunkan yang telah menetapkan dan menjelaskan bahawa termasuk sifat Allah عَزَّ وَجَلَّ ialah Dia beristiwa di atas ‘Arasy-Nya kerana Dia عَزَّ وَجَلَّ telah berfirman:

الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

“Ar-Rahman (Allah) berada di atas ‘Arasy” (Surah Taha, ayat 5)

Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahullah (250-324H) berkata:

وَأَنَّ اللهَ عَلَى عَرْشِهِ كَمَا قَالَ : الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

“Dan bahawasanya Allah di atas ‘Arasy-Nya sebagaimana difirmankan: Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah) beristiwa di atas ‘Arasy”. [Lihat: At-Tauhid (1/173)]

Al-Allamah Al-Imam Muhammad Jarir rahimahullah (224-310H), beliau seorang ulama tafsir yang telah berkata:

وَحَسْبُ امْرِئِِ أَنْ يَعْلَمَ أَنَّ رَبَّهُ الَّذِيْ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى فَمَنْ تَجَاوَزَ ذَلِكَ فَقَدْ خَابَ وَخَسَرَ

“Sewajarnya setiap individu mengatakan bahawa sesungguhnya Tuhannya adalah Tuhan yang beristiwa di atas ‘Arasy, sesiapa yang melampaui pada yang tersebut, dia telah kesasaran dan rugi”. [Lihat: Mukhtasar Al-‘Ulu, hlm. 223. Az-Zahabi]

Apa sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah عَزَّ وَجَلَّ yang tertera di dalam Al-Quran, tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun jika ia benar-benar beriman dengan keseluruhan isi Al-Quran dan hadis-hadis sahih (As-Sunnah), kerana Umar bin Abdul Aziz رضي الله عنه telah menegaskan:

لَا رَأْي لأَحَدِِ مَعَ سُنَّةِ سَنَّهَا رَسُوْلُ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم

“Tidak dapat diterima pendapat dari seseorang setelah adanya sunnah yang ditetapkan (disunnahkan) oleh Rasulullah صلّى الله عليه وسلّم:. [Lihat: رفع الملام عن الائمة الأعلام hlm. 27, oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Lihat: طبقات الحنابلة (2/15). Lihat: Al-Ibanah An-Usul As-Diyanah, hlm 260 oleh Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari]

Telah sepakat para ulama Salaf as-Soleh seperti Imam Asy-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Abu Hasan Al-Asy’ari, Abu Zur’ah Ar-Razi, Imam Ibnu Katsir, Imam Asy-Syaukani, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (yang dituduh sebagai pencetus fahaman Wahabi) dan ramai lagi, mereka semua beriktikad bahawa:

“Allah di langit, beristiwa di atas ‘Arasy-Nya dan Ilmu-Nya di setiap tempat (di mana-mana)”.

Telah sabit dari Rasulullah صلّى الله عليه وسلّم melalui hadis-hadisnya yang sahih bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang berada tinggi di atas langit sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah صلّى الله عليه وسلّم dan para sahabatnya, antaranya ialah sahabat baginda bernama Abdullah bin Amru رضي الله عنه, beliau telah menjelaskan:

وَعَنْ عَبْدِاللَّهِ بْنِ عَمْرُو بْنِ الْعَاصِ، أَنَّ رَسُوْلَ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم قَالَ : الرَّاحِمُوْنَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَن، إِرْحِمُوْا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمُكُمُ مَنْ فِي السَّمَاء

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ash رضي الله عنه, sesungguhnya Rasulullah صلّى الله عليه وسلّم bersabda: “Orang-orang yang menyayangi mereka akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah). Sayangilah yang di bumi, kamu akan disayangi oleh yang di langit (Allah)”. [Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud dan At-Tirmizi dan disahihkan oleh At-Tirmizi dan Al-Albani]

عَنْ سَعَدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصِِ رضي الله عنه أَنَّ النَّبِيَّ صلّى الله عليه وسلّم قَالَ لِسَعَدِ بْنِ مُعَاذِِ رضي الله عنه : لَقَدْ حَكَمْتَ فِيْهِمْ بِحُكْمِ الْمَلِكِ مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَاوَات

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas رضي الله عنه, sesungguhnya Nabi صلّى الله عليه وسلّم telah berkata kepada Sa’ad bin Mu’az رضي الله عنه: “Engkau telah berhukum dengan hukum Malik (Allah) dari atas tujuh petala langit”. [Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Al-Asma Was-Sifat, hlm. 420. Dan riwayat An-Nasaii. Menurut Al-Albani sanadnya hasan]

Semasa Rasulullah صلّى الله عليه وسلّم menceritakan tentang mikraj baginda ke langit untuk menemui Allah عَزَّ وَجَلَّ di langit, baginda bersabda:

وَنْ أَنَسِِ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلّم أَنَّهُ قَالَ : فَأَدْخُلُ عَلَى رَبِّي وَهُوَ عَلَى عَرْشِهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Daripada Anas dari Nabi sesungguhnya baginda bersabda, “Maka aku menemui Tuhanku dan Dia di atas ‘Arasy-Nya Tabaraka wa-Ta’ala”. [Lihat Al-‘Ulu hlm. 87. Az-Zahabi]

Dewasa ini penjelasan para ulama Salaf dan para pendakwah Salaf amat jelas yang menyeru kepada keyakinan bahawa Allah bersemayam di atas ‘Arasy-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas langit tetapi dituduh sebagai Wahhabi, ditentang dan dihukum sesat oleh golongan yang mengaku sebagai pengikut mazhab Asy’ariyyah, Sufiyyah, Hululiyyah, Wahdatul Wujud, Muktazilah, Jahmiyyah dan yang seakidah dengan mereka yang masih jahil dengan akidah Salaf As-Soleh yang sebenar.

InsyaAllah segala hujah-hujah yang dibentang di tulisan ini akan membuktikan bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ bukan berada di setiap tempat, tidak meliputi setiap benda atau berada di mana-mana tetapi fahaman Ahli Sunnah yang sebenar (yang dituduh sebagai fahaman Wahabi) adalah meyakini bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ beristiwa di atas ‘Arasy-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas tujuh petala langit dan juga Ilmu Allah عَزَّ وَجَلَّ ada di mana-mana.

Semua kenyataan dan penjelasan di tulisan ini akan dibuktikan dengan berdalilkan ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis dan atsar-atsar yang sahih sebagai hujah yang pemutus (qati’ah) serta fatwa-fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jama’ah yang muktabar sebagai rujukan untuk memahami persoalan akidah dan hukum-hakam syarak.

Antara dalil-dalil atau hujah-hujah yang menetapkan bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ beristiwa tinggi di atas ‘Arasy-Nya yang dinukil daripada Al-Quran, hadis-hadis sahih dan atsar para sahabat yang telah dibawakan oleh mereka (para ulama Salaf As-Soleh) satu persatu berupa ayat-ayat daripada Al-Quran bersama tafsiran dan huraiannya. Dalil-dalil atau hujah-hujahnya adalah sebagaimana yang tertera di bawah ini:

Hujah Pertama

Hujah yang (القَاتِعَةُ) pemutus dan penentu yang telah membuktikan bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ berada (beristiwa) tinggi di atas ‘Arasy dan ‘Arasy-Nya berada di atas langit yang ketujuh dan juga Allah عَزَّ وَجَلَّ bukan berada di mana-mana, kerana yang ada di mana-mana adalah Ilmu-Nya sebagaimana Allah sendiri telah mengkhabarkannya melalui firman-firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۖ مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَىٰ ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَىٰ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ۖ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang di langit dan apa yang ada di bumi. Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat. Dan tiada lima orang melainkan Dialah yang keenam. Dan tiada perkataan antara yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 7)

Adapun ayat Al-Quran yang dinukil (disalin) dari potongan ayat di atas yang dinyatakan atau disangka oleh Ahli Bid’ah sebagai dalil bahawa Allah عَزَّ وَجَلَّ berada di mana-mana yang tidak bertempat dan tidak memerlukan tempat, iaitu potongan ayat:

إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا

“Dia (Allah) ada bersama mereka di manapun mereka berada”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 7)

Berkata Sufyan Ath-Thauri (97-161H) tentang ayat di atas ini, iaitu:

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ، عِلْمُهُ

“Dia (Allah) ada bersama mereka di manapun mereka berada: Iaitu yang bersama Ilmu-Nya”. [Dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad (no. 72). Al-Ajiri (no. 289). Al-Lalakaie (1/92/2)]

Dan firman-Nya lagi:

وَلَا أَدْنَىٰ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا

“Dan tiada perkataan antara yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia (Allah) bersama mereka di manapun mereka berada”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 7)

Maksud atau tafsiran ayat di atas ini menurut Imam Ahmad رحمه الله ialah:

“Ayat ini adalah untuk menjelaskan tentang Ilmu Allah (Ilmu atau Pengetahuan Allah yang ada di mana-mana). Dan ayat ini bukan untuk memperkatakan ‘tempat’ atau ‘di mana Allah berada'”.

Maka jelaslah bahawa Imam Ahmad رحمه الله telah mentafsirkan maksud ayat tersebut dengan sejelas-jelasnya, iaitu menurut beliau:

اِفْتَتَحَ الْاَيَةِ بِالْعِلْمِ وَاخْتَتَمَهَا بِالْعِلْمِ

“(Ayat ini menjelaskan keberadaan Ilmu Allah, kerana) ayat ini dimulakan dengan memperkatakan Ilmu Allah dan diakhiri juga dengan memperkatakan Ilmu Allah”. [Lihat: طبقات الحنابلة (2/15). Lihat Al-Ibanah An-Usul Ad-Diyanah hlm. 260 oleh Imam Abu Hasan Al-Asy’ari]

Ayat di atas ini telah ditafsirkan oleh beberapa ulama tafsir muktabah, antara mereka ialah dari Ibnu Jarir dari Ad-Dahak رحمه الله bahawa:

“Dia (Allah) beristiwa di atas ‘Arasy-Nya dan yang bersama dengan mereka (bersama para makhluk-Nya) ialah Ilmu-Nya, Bahawasanya Dia (Allah) menyaksikan mereka dengan Ilmu-Nya dan Dia (Allah) berada (beristiwa) di atas ‘Arasy-Nya”. [Lihat: الشريعة hlm. 298 oleh Al-Ajiri. Ditahkik oleh Hamid]

Imam Ibnu Katsir رحمه الله (700-774H), beliau seorang ulama terkemuka dalam bidang tafsir, hadis dan fiqh. Beliau yang bermazhab Asy-Syafie telah menjelaskan di dalam tafsirnya mengenai ayat yang tertera di atas ini, iaitu: “Dia (Allah ada bersama mereka di manapun mereka berada“. (Surah Al-Mujadalah, ayat 7), bahawa menurut beliau:

وَلِهَذَا حَكَى غَيْرُ وَاحِدِ الْإِجْمَاعِ، عَلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِهَذِهِ الْأَيَةِ، مَعِيَّةُ عِلْمُهُ تَعَالَى

“Oleh kerana itu, telah menceritakan bukan seorang malah secara ijmak (ulama) atas kesepakatan mereka bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Allah Ta’ala bersama seseorang, yang bersama ialah Ilmu-Nya”. [Lihat Tafsir Ibnu Katsir jld. 4 hlm. 322]

Muqatil رحمه الله pula mentafsirkan ayat:

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَىٰ ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ

“Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat” (Surah Al-Mujadalah, ayat 7)

Maka ditafsirkan oleh beliau:

“Dia (Allah) di atas ‘Arasy-Nya dan Ilmu-Nya bersama kita”. [Dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad dalam As-Sunnah, hlm. 71]

Imam Asy-Syafie رحمه الله telah menjelaskan:

“Bahawa Allah سبحانه وتعالى itu beristiwa atas ‘Arasy-Nya di atas langit-langit, yang bersama dengan makhluk-Nya ialah Ilmu-Nya yang sesuai dengan kehendak dan kebesaran-Nya. Dan juga Allah turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-Nya”. [Lihat: Ijtima’ul Juyusy Al-Islamiyah, hlm. 165. Majmu’ Al-Fatawa (IV/181-183) oleh Ibnu Taimiyyah. Al-‘Ulu hlm. 120 oleh Az-Zahabi. Dan Mukhtasar Al-‘Ulu hlm. 176 ditahqiq oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله]

Video Penuh & Teks Kitab : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-rasul-dahri-di-mana-allah-siri-4/

SOAL JAWAB

– Hukum Berbohong kepada Anak : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-rasul-dahri-hukum-berbohong-kepada-anak/

– Tak Sempat Menunaikan Nazar : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-rasul-dahri-tak-sempat-menunaikan-nazar/

Kepada sesiapa yang ingin mendapat update sekaligus ingin share update terbaru dari Ilmu salaf dot com ke wall masing², boleh klik di sini: http://www.networkedblogs.com/blog/ilmusalafdotcom

– Klik “Syndication” di sebelah kiri
– Klik “Grant Permissions
– Klik “Add Facebook Target” dan klik “Add

* selepas proses ini, setiap update video terbaru akan terus share di wall anda secara automatic. InsyaAllah…

www.ilmusalaf.com
www.facebook.com/ilmusalafdotcom
www.facebook.com/groups/501756696521984/
www.youtube.com/user/ilmusalafdotcom
www.twitter.com/ilmusalafdotcom