Jihad

JIHAD: DEFINISI, JENIS & KETETAPAN-KETETAPANNYA
Oleh Abu Omar Idris bin Sulaiman


Download PDF di sini.

Ibadah jihad seperti ibadah-ibadah yang lain, mempunyai kaedah-kaedah serta tatacara-tatacara yang perlu dipatuhi ketika melaksanakannya. Ia bukan suatu ibadah yang berdiri di atas semangat dan emosi yang melulu tanpa batasan. Ia juga bukan slogan kosong yang dilaungkan tanpa makna dan erti.

Sejauh mana benarnya mereka yang meniupkan semboyan jihad pada hari ini, itu adalah suatu persoalan yang perlu dinilai dengan dalil-dalil Syarak dan pandangan ulama yang muktabar. Sudahkah Umat Islam bersedia untuknya? Bolehkan musuh yang lengkap bersenjata canggih diperangi tanpa peralatan dan persediaan yang cukup? Ini adalah sebahagian persoalan tentang jihad yang akan dibahaskan dalam tulisan ini.

DEFINASI JIHAD

Dalam Bahasa Arab, jihad (جِهَاد) berasal daripada perkataan juhdu (جُهْدُ) atau jahdu (جَهْدُ) yang membawa maksud tenaga atau kesusahan. Adapun jihad, ia menjurus kepada makna mengerah usaha dan tenaga (Mukhtaar Al-Sihah, 1/119).

Dariapda sudut Syarak pula, terdapat dua erti jihad. Jihad secara umumnya membawa maksud mengerah usaha dan tenaga dalam apa yang disukai oleh Allah dan diredaiNya (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah, 10/192).

Adapun secara khas, jihad membawa maksud ‘Mengerah usaha dan tenaga berperang pada Jalan Allah dengan nyawa, harta, senjata dan selainnya’.

Sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ

“Berjihadlah menentang orang musyrikin dengan harta, nyawa dan lidah kamu” (Sahih. Riwayat Abu Daud).

JENIS-JENIS JIHAD

Berdasarkan erti jihad mengikut definasinya yang umum dan khusus, Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah (wafat 751H) dalam kitabnya Zaadul Ma’aad, 3/9 membahagikan jihad kepada empat peringkat:

Peringkat Pertama: Jihad Melawan Nafsu

Jihad Melawan Nafsu adalah jihad pertama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang muslim sebelum dia beranjak ke peringkat jihad yang berikutnya. Jihad Nafsu terbahagi kepada empat:

  1. Jihad dalam menuntut ilmu kebenaran dan Agama yang hak;
  2. Jihad dalam mempraktikkan ilmu yang telah diperolehi;
  3. Jihad dalam berdakwah menyebarkan ilmu;
  4. Jihad dalam bersabar menanggung rintangan berdakwah pada Jalan Allah.

Sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

وَالْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي طَاعَةِ اللَّهِ

“Orang yang berjihad adalah orang yang berjihad melawan nafsunya dalam mentaati Allah” (Sahih. Imam Ahmad).

Peringkat Kedua: Jihad Melawan Syaitan

Ia terbahagi kepada dua:

  1. Jihad dalam menangani syubhat yang dilemparkan;
  2. Jihad dalam berdepan dengan godaan syahwat.

Jihad Melawan Syaitan dianggap jihad kedua yang paling susah sesudah Jihad Melawan Nafsu memandangkan Nabi sallalahu alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإنسان مجْرى الدَّم

“Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia sebagaimana darah mengalir dalam tubuh badannya” (Bukhari dan Muslim).

Seseorang itu tidak akan berjaya dalam peringkat jihad yang berikutnya melainkan setelah dia berjaya dalam kedua peringkat jihad yang pertama ini.

Peringkat Ketiga: Jihad Menentang Golongan Munafik

Ia terbahagi kepada empat:

  1. Jihad dengan hati;
  2. Jihad dengan lidah;
  3. Jihad dengan harta;
  4. Jihad dengan nyawa.

Walaubagaimanapun, Jihad Menentang Golongan Munafik lebih tertumpu kepada lidah kerana golongan ini kufur dalam hati tetapi menzahirkan Islam. Maka penjelasan dan hujah perlu diberikan untuk menangkis syubhat-syubhat mereka.

Berkata Ibnu Al-Qayyim rahimahullah (wafat 751H), “Jihad Orang Munafikin lebih susah daripada Jihad Orang Kafir. Ia hanya boleh dilaksanakan oleh mereka yang berkeahlian (golongan yang berilmu) daripada kalangan Umat Islam” (Zaadul Ma’aad, 3/5).

Peringkat Keempat: Jihad Golongan Ahli Bidaah dan Pelaku Maksiat

Ia terbahagi kepada tiga:

  1. Jihad dengan tangan mencegah perbuatan bidaah atau maksiat yang mereka lakukan; jika tidak mampu
  2. Jihad dengan lidah menegur perbuatan salah mereka; dan jika tidak mampu
  3. Jihad dengan hati dengan mengingkari perbuatan mereka dan membencinya.

Sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فبقلبه وَذَلِكَ أَضْعَف الْإِيمَان

“Barangsiapa melihat suatu kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya; jika dia tidak mampu maka dengan lidahnya; dan jika dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman” (Muslim).

Peringkat Kelima: Berperang pada Jalan Allah demi Menegakkan Kalimah Allah

Ini yang dimaksudkan dengan jihad dalam erti katanya yang khusus.

Firman Allah,

وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً

“Dan perangilah orang-orang musyrikin secara menyeluruh” (Al-Taubah, 36).

Sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah” (Bukhari dan Muslim).

مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِغَزْوٍ مَاتَ عَلى شُعْبَةِ مِنْ نِفَاقٍ

“Barangsiapa mati sedang dia tidak pernah berperang, dan tidak pula dia bercita-cita untuk berperang, dia telah mati pada salah satu cabang kemunafikan” (Muslim).

HIKMAH PENSYARIATAN JIHAD

1. Untuk menegakkan Kalimah Allah agar Agama semua menjadi milik Allah.

Firman Allah,

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) Agama itu menjadi semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim” (Al-Baqarah, 193).

Sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Barangsiapa berjuang supaya Kalimah Allah menjadi yang paling tinggi maka dia fi sabilillah (pada Jalan Allah)” (Bukhari dan Muslim).

2. Menghalang Kezaliman dan Memelihara Agama Islam.

Firman Allah,

فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ

“Maka barangsiapa melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu setimpal dengan pencerobohan yang dilakukannya terhadap kamu” (Al-Baqarah, 194).

3. Membantu Mereka yang Dizalimi daripada kalangan Orang-Orang Islam.

Firman Allah,

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا

“Dan apakah yang menghalang kamu tidak mahu berperang pada Jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, Iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan Agama kami), dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh)” (Al-Nisaa’, 75).

FADHILAT JIHAD

Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi sallalahu alaihi wasallam yang menjelaskan tentang kedudukan serta kelebihan Jihad Fi Sabilillah. Antaranya sabda Nabi,

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan buat mereka yang mati syahid pada Jalan Allah; antara setiap darjat seperti antara langit dan bumi” (Bukhari).

DUA JENIS JIHAD PERANG DAN HUKUMNYA

Jihad Perang terbahagi kepada dua:

A. JIHAD MENYERANG ( جهاد الطلب )

Iaitu menyerang musuh Islam dan memerangi mereka di negara mereka demi menegakkan Kalimah Allah dan agar Agama semua menjadi milik Allah dengan syarat dakwah telah disampaikan kepada mereka.

Jihad ini hukumnya fardu kifayah. Sekiranya bilangan yang mencukupi sudah melaksanakannya maka kewajipan dan dosa akan tergugur daripada yang lain. Firman Allah,

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

“Dan tidaklah (betul dan elok untuk) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam Agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berperang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah” (Al-Taubah, 122).

SYARAT-SYARAT JIHAD MENYERANG:

1. Islam.

Ini kerana Jihad Menyerang bertujuan untuk memerangi musuh Islam yang terdiri daripada kalangan orang-orang kafir. Masakan orang kafir boleh dipercayai untuk berperang dengan orang kafir yang lain.

Sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam ketika mana Baginda menolak tawaran seorang kafir yang ingin membantu tentera Islam dalam Peperangan Badar,

فَارْجِعْ فَلَنْ أسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ

“Pulanglah, sesungguhnya aku tidak akan menggunakan bantuan orang musyrik” (Muslim).

2. Berakal.

Orang gila tidak boleh turut serta dalam jihad.

3. Baligh.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Omar radiallahu anhu ketika mana dia menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Uhud sedang umurnya empat belas tahun tetapi tidak diizinkan oleh Nabi . Beliau menawarkan dirinya untuk menyertai Perang Khandak ketika umurnya lima belas tahun lalu diizinkan oleh Nabi sallalahu alaihi wasallam (Bukhari dan Muslim).

4. Lelaki.

Adapun wanita, bagi mereka sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ: الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

“Buat mereka jihad yang tiada perang dalamnya; Haji dan Umrah” (Sahih. Imam Ahmad).

Para wanita boleh turut serta dalam panji tentera Islam untuk memberikan bantuan-bantuan umum. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sahabat Perempuan Rasulullah Al-Rubayyi’ radiallahu anha,

كُنَّا نَغْزُو مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَسْقِي القَوْمَ وَنَخْدِمَهُمْ

“Kami berperang bersama Nabi sallalahu alaihi wasallam, maka kami memberi minum dan memberi bantuan kepada mereka ” (Bukhari).

5. Merdeka.

Adapun hamba, khidmatnya adalah untuk tuannya.

6. Selamat daripada cacat anggota tubuh badan yang boleh menghalang jihad.

Seperti buta, tempang yang melampau dan kesakitan yang amat sangat yang menghalangnya daripada berperang.

Firman Allah,

لَيْسَ عَلَى الْأَعْمَى حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ

“Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya)” (Al-Fath, 17).

7. Kemampuan menyediakan persediaan kelengkapan jihad.

Bekalan-bekalan kelengkapan seperti makanan, kenderaan dan nafkah keluarga perlu disedikan oleh setiap anggota tentera yang ingin berperang jika ia tidak dibekalkan oleh kerajaan pemerintah. Firman Allah,

وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ

“Dan orang-orang yang tidak mempunyai apa-apa untuk dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang)” (Al-Taubah, 91).

Begitu juga kemampuan daripada sudut kelengkapan persenjataan perang dan juga bilangan anggota tentera yang menjadi syarat dalam Jihad Menyerang. Hal ini sebagaimana dalam firman Allah Ta’ala,

فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ

“Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang” (Al-Anfaal, 66).

B. JIHAD PERTAHANAN ( جهاد الدفاع )

Iaitu jihad mempertahankan negara Islam yang diserang oleh musuh. Hukumnya adalah fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu yang mampu berperang. Sekiranya penduduk negara itu tidak mampu atau jumlah serta senjata mereka tidak memadai, maka menjadi kewajipan negara Islam jiran yang berkemampuan berperang untuk datang membantu.

SYARAT-SYARAT JIHAD PERTAHANAN

Para ulama menjelaskan bahawa syarat-syarat yang ditetapkan dalam Jihad Menyerang tergugur dalam Jihad Pertahanan.

Mereka berdalilkan peristiwa di mana Salamah bin Al-Akwa’ radiallahu anhu bertindak bersendirian berdepan dengan kaum musuh yang datang menyerang sehingga beliau dipuji oleh Nabi sallalahu alaihi wasallam dengan sabdanya,

خَيْرُ رَجَّالَتِنَا سَلَمَة

“Sebaik-baik tentera pejalan kaki kita adalah Salamah” (Muslim).

Kisah Salamah bin Al-Akwa’ radiallahu anhu ini menunjukkan bahawa dalam Jihad Pertahanan tidak perlu kepada izin pemerintah. Begitu juga dengan kemampuan persenjataan dan bilangan ketenteraan kerana Salamah radiallahu anhu bersendirian tatkala berdepan dengan pasukan musuh.

Berkata Ibnu Al-Qayyim rahimahullah (wafat 751H):

“Maka Jihad Pertahanan lebih luas daripada Jihad Menyerang dan lebih umum daripada sudut kewajipannya. Kerana itu ia wajib atas setiap individu… Sebagaimana dalam Perang Uhud dan Khandaq. Maka tidak disyaratkan dalam jihad ini bilangan musuh hendaklah dua kali ganda atau kurang kerana mereka dalam Peperangan Uhud dan Khandaq berkali-kali ganda bilangan orang Islam. Jihad ketika itu wajib atas mereka kerana ia adalah jihad darurat dan (Jihad) Pertahanan dan bukan jihad pilihan (Jihad Menyerang)” (Al-Furusiyyah, 96).

Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa tergugurnya syarat-syarat Jihad Menyerang dalam Jihad Pertahanan tidak bererti tergugurnya syarat kemampuan sama sekali. Kemampuan tetap menjadi syarat dalam Jihad Pertahanan sebagaimana ia menjadi syarat dalam semua jenis ibadah. Sebagaimana kewajipan puasa, zakat dan haji akan tergugur jika sekiranya tidak ada kemampuan maka begitu jugalah Jihad Pertahanan. Kewajipannya akan tergugur jika seseorang atau sesebuah negara itu tidak ada kemampuan.

HUKUM JIHAD ATAS INDIVIDU

Terdapat empat keadaan di mana jihad perang menjadi fardu ain atas seseorang individu iaitu:

1. Sekiranya musuh menyerang sesebuah negara Islam maka menjadi kewajipan fardu ain atas setiap seorang penduduk negara itu untuk mempertahankan negara mereka daripada musuh.

2. Tatkala berhadapan dengan musuh di medan pertempuran maka dilarang berpaling. Firman Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا زَحْفًا فَلَا تُوَلُّوهُمُ الْأَدْبَارَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling berundur daripada menentang mereka” (Al-Anfaal, 15).

3. Sekiranya seseorang individu itu diperintahkan untuk turut serta berperang oleh pemerintah negara. Sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

“Dan sekiranya kamu diperintahkan berperang maka berperanglah” (Bukhari dan Muslim).

4. Sekiranya dia diperlukan oleh pemerintah di medan perang kerana kepakarannya atau kerana sebab-sebab yang lain.

KETETAPAN-KETETAPAN JIHAD

1. Tidak ada jihad kecuali dengan adanya kekuatan dan kemampuan.

Kemampuan adalah perkara asas dalam segala kewajipan Syarak. Hanya dengan adanya kemampuan sesuatu itu menjadi wajib. Sekiranya kemampuan itu tidak ada maka suatu kewajipan Syarak itu akan terangkat. Sebagaimana firman Allah,

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan dengan apa yang ia mampu” (Al-Baqarah, 286).

Juga sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بأمر فأتوا منه ما استطعتم

“Jika aku melarang sesuatu atas kamu maka hendaklah kamu menjauhinya. Dan jika aku perintahkan sesuatu atas kamu maka laksanakanlah ia sedaya yang kamu mampu” (Muslim).

Jika kemampuan menjadi asas dan syarat dalam segala bentuk ibadah, tentu sahaja ia menjadi syarat utama dalam jihad lebih-lebih lagi dalam Jihad Menyerang.

Syarat kekuatan dan kemampuan dalam jihad diperincikan dalam dalam dua perkara yang berikut:

a) Perlu ada kekuatan persenjataan dan ketenteraan.

Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan hambaNya yang beriman dengan sokongan dan bantuaNnya. Dalam masa yang sama kemenangan tidak akan dapat dicapai dan musuh tidak akan dapat ditumpaskan dalam peperangan melainkan dengan sebab musababnya.

Di samping berserah dan bertawakkal kepada Allah, Umat Islam diperintahkan supaya berikhtiar dan berusaha dalam kehidupan mereka. Begitu juga dalam jihad.

Hal ini ditegaskan dalam firman Allah,

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu” (Al-Anfaal, 60).

Dalam jihad, Allah memerintahkan supaya Umat Islam mempersiapkan kelengkapan kekuatan mereka sebelum mereka bergerak ke medan pertempuran. Persiapan-persiapan ini perlu supaya musuh menjadi gentar dan takut terhadap tentera Islam.

Nabi sallalahu alaihi wasallam dalam hadisnya menjelaskan erti kekuatan yang dimaksudkan dalam ayat Al-Quran di atas dalam sabdanya,

أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

“Sesungguhnya kekuatan itu dengan membaling; sesungguhnya kekuatan itu dengan membaling; sesungguhnya kekuatan itu dengan membaling” (Muslim).

Maka persediaan daripada sudut kekuatan untuk menentang musuh adalah satu kemestian dalam jihad. Dan Baginda sallalahu alaihi wasallam menjelaskan bahawa sebaik-baik kekuatan adalah senjata yang berbentuk ‘membaling’ seperti tombak dan panah pada zaman dahulu atau bom dan peluru berpandu pada zaman sekarang.

Sungguh benar hadis Nabi sallalahu alaihi wasallam di atas. Ini adalah realiti peperangan pada hari ini. Mereka yang mempunyai senjata bom dalam segala bentuknya yang canggih telah berjaya menguasai dunia pada hari ini. Tidak ada mana-mana pihak yang berani mencabar mereka. Hanya mereka yang berfikiran dangkal akan menyangka bahawa batu dan lestik atau senjata-senjata api yang ringan seperti mesinggan dan bom tangan adalah cukup untuk menewaskan musuh yang mempunyai senjata-senjata berat seperti kereta kebal, pesawat-pesawat tempur dan peluru berpandu.

Dukacitanya terdapat di kalangan sebahagian orang Islam yang berfikiran begitu. Akhirnya bukan sahaja mereka mengetepikan perintah Syarak, mereka juga mengetepikan anugerah akal yang Allah berikan untuk mereka berfikir secara rasional.

b) Perlu ada bilangan tentera yang mencukupi.

Kewajipan berdepan dengan musuh adalah selama mana bilangan tentera musuh tidak melebihi dua kali ganda tentera Islam. Sebagaimana firman Allah,

الْآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Sekarang Allah telah meringankan buat kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui kelemahan yang ada pada kamu; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, mereka akan dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah; dan (ingatlah) Allah bersama orang-orang yang sabar” (Al-Anfaal, 66).

Syarat bilangan ini adalah buat Jihad Menyerang secara khasnya. Berbeza dengan Jihad Pertahanan. Sebagaimana dalam Peperangan Uhud dan Khandaq di mana bilangan tentera musuh berkali-kali ganda tentera Islam. Walaupun berdepan dengan bilangan tentera musuh yang berlipat kali ganda, tetapi jihad tetap wajib atas Umat Islam ketika itu kerana ia adalah jihad darurat dan (Jihad) Pertahanan, bukan jihad pilihan (Jihad Menyerang) (Al-Furusiyyah oleh Ibnu Al-Qayyim, hlm. 96)

Maka dalam Jihad Menyerang, bilangan musuh yang melebihi dua kali ganda tentera Islam akan mengangkat kewajipan jihad dan bertukar menjadi sunat atau harus.

Tetapi perlu diingat, hal ini selama mana terdapat keyakinan atau sangkaan yang kuat bahawa tentera Islam masih berpeluang untuk menewaskan musuh. Adapun sekiranya bilangan musuh sudah berkali-kali ganda dan senjata mereka jauh lebih canggih sehingga menjadi hampir mustahil untuk menewaskan mereka, dalam keadaan ini ia tidak lagi menjadi jihad sebaliknya ia lebih kepada mencampakkan diri dalam kebinasaan yang dilarang oleh Syarak.

Firman Allah Ta’ala,

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Al-Baqarah, 195).

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

“Dan janganlah kamu membunuh diri, sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu” (Al-Nisaa, 29).

Berkata Syeikh Uthaimin rahimahullah (wafat 1421H):

“Jihad perlu kepada syarat-syarat iaitu Umat Islam perlu ada kemampuan dan kekuatan untuk berperang. Sekiranya mereka tidak mempunyai kemampuan, maka perbuatan mereka ke hadapan untuk berperang adalah perbuatan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Kerana itu Allah tidak mewajibkan atas Umat Islam berperang ketika mereka di Mekah memandangkan mereka tidak mampu dan lemah ketika itu. Hanya apabila mereka telah berhijrah ke Madinah, menubuhkan negara Islam dan mempunyai kekuatan barulah mereka diperintahkan berperang” (Syarah Al-Mumti’, 8/9-10).

2. Perlu Dengan Izin Pemerintah

Tidak ada jihad tanpa izin pemerintah selagi mana ia bukan Jihad Fardu Ain. Inilah Sunnah Nabi sallalahu alaihi wasallam, Sunnah Para Khalifah dan amalan para Sahabat radiallahu anhum. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa mana-mana individu daripada kalangan mereka telah keluar berjihad tanpa izin pemerintah. Bahkan semua riwayat menunjukkan bahawa mereka telah berjuang di bawah panji jihad pemerintah.

Hal ini boleh difahami daripada hadis Nabi sallalahu alaihi wasallam,

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي وَإِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

“Barangsiapa mentaatiku dia telah mentaati Allah; barangsiapa derhaka terhadapku dia telah derhaka terhadap Allah; dan barangsiapa taat kepada pemerintah dia telah taat kepadaku; barangsiapa derhaka terhadap pemerintah dia telah derhaka terhadapku; sesungguhnya pemerintah adalah perisai (untuk) berjuang di belakangnya dan berlindung dengannya” (Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Ahmad rahimahullah (wafat 241H):

“(Kewajipan) berperang bersama pemerintah adalah berterusan sehingga ke Hari Kiamat; sama ada pemerintah yang baik mahupun yang zalim; ia tidak boleh ditinggalkan” (Usul Al-Sunnah oleh Imam Ahmad, hlm. 64)

Berkata Syeikh Uthaimin rahimahullah (wafat 1421H):

“Tidak boleh berperang kecuali dengan izin pemerintah dalam apa jua keadaan. Ini kerana kewajipan berperang dan jihad ditujukan kepada pemerintah dan bukan orang perseorangan. Orang perseorangan perlu ikut ketetapan majlis penasihat pemerintah. Tidak boleh bagi sesiapa untuk berjuang tanpa izin pemerintah kecuali untuk bertahan (Jihad Pertahanan). Sekiranya mereka diserang hendap oleh musuh dan mereka khuatir akan kejahatan musuh maka dibolehkan untuk mereka mempertahankan diri mereka kerana dalam keadaan itu, mempertahankan diri menjadi wajib” (Syarah Al-Mumti’, 8/25-26).

3. Tidak Ada Jihad Tanpa Panji

Seorang muslim hanya boleh berjihad dan berperang di bawah panji pemerintah atau wakilnya. Dia sama sekali tidak boleh berperang di bawah panji buta yang tidak dilantik oleh pemerintah. Sebagaimana sabda Nabi sallalahu alaihi wasallam,

مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبِيَّةٍ أَوْ يَدْعُو لِعَصَبِيَّةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

“Barangsiapa keluar daripada ketaatan (pemerintah) dan menyelisihi jemaah (yang bersatu di bawah pemerintah) lalu dia mati, dia mati dalam keadaan jahiliah; dan barangsiapa berperang di bawah panji buta, dia marah kerana asabiah, mengajak kepada asabiah atau berjuang kerana asabiah lalu dia terbunuh, dia terbunuh dalam keadaan jahiliah” (Muslim).

4. Perlu Mendapat Izin Kedua Orang Tua Jika Keduanya Masih Hidup atau Salah Seorang Mereka Selagi Mana Bukan Jihad Fardu Ain

Berkata Abdullah bin Amru radiallahu anhu “Seorang lelaki datang kepada Nabi sallalahu alaihi wasallam meminta izin untuk berjihad. Nabi berkata: Apakah orang tuamu hidup? Jawab lelaki itu: Ya. Berkata Baginda: Berjihadlah untuk keduanya” (Bukhari dan Muslim).

Hadis di atas menunjukkan bahawa kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa mendahului kewajipan jihad. Hanya dengan izin mereka jihad dibolehkan untuk si anak. Betapa besarnya hak ibu bapa yang perlu ditunaikan oleh anak.

Berkata Imam Al-Syaukani rahimahullah (wafat 1250H):

“Wajib meminta izin kedua ibu bapa dalam jihad. Inilah pendapat jumhur ulama di mana mereka menegaskan haramnya berjihad tanpa izin kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka. Ini kerana berbakti kepada mereka adalah fardu ain manakala jihad adalah fardu kifayah. Adapun dalam jihad fardu ain maka tidak perlu izin mereka” (Nil Al-Autaar, 8/40).

5. Perlu Persediaan Kekuatan Rohani di samping Kekuatan Fizikal

Umat Islam perlu sedar akan hakikat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah buat hambaNya yang beriman. Kemenangan tidak akan diperolehi atas sebab kekuatan ketenteraan dan persenjataan canggih semata-mata. Sebaliknya, kemenangan Allah adalah khas buat hambanya yang beriman dan bertakwa yang melaksanakan suruhan-suruhan AgamaNya dan menjauhi larangan-laranganNya.

Firman Allah,

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (Agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan kedudukan kamu” (Muhammad, 7).

Inilah janji Allah. Allah berjanji untuk memenangkan hambanya sekiranya hambaNya menunaikan tanggungjawab membela AgamaNya.

Sekiranya kemenangan tidak diperolehi, pasti ada sebabnya. Jika bukan kerana kekurangan persediaan ketenteraan dan persenjataan, pastinya ia disebabkan oleh kekurangan dalam persediaan rohani akidah dan keimanan. Tentu ada penghalang dosa atau maksiat yang menyebabkan kemenengan Allah tidak kunjung tiba. Apa yang pasti Allah tidak memungkiri janjiNya. Hanya manusia yang tidak bebas daripada kesalahan dan kekurangan.

Lihat sahaja dalam Peperangan Uhud bagaimana apabila tentera pemanah ingkar terhadap perintah Nabi sallalahu alaihi wasallam supaya mereka terus tetap di atas Bukit Pemenah dan tidak turun kecuali dengan izinnya ia telah mengakibatkan Umat Islam hampir tewas di tangan orang kafir dalam peperangan tersebut. Firman Allah,

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ

“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa musibah (dalam Peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kekalahan atas musuh dalam Peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (musibah) ini? “Katakanlah: “Ia adalah akibat perbuatan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)” (Aali Imraan, 165).

Allah menimpakan balaNya atas tentera Islam dalam Peperangan Uhud akibat satu kesalahan – yang mungkin dilihat sebagai remeh – yang dilakukan oleh sebahagian daripada para Sahabat.

Maka bagaimana mungkin kita mengharapkan kemenangan Allah dan terselamat daripada balaNya sekiranya Umat Islam terus bergelumang bukan sahaja dalam maksiat bahkan amalan-amalan syirik dan khurafat yang masih tersebar di kalangan masyarakat Islam dan di kalangan mereka yang berkobar-kobar ingin berjuang di medan pertempuran. Tidak hairan mengapa musibah demi musibah terus menimpa Umat Islam pada hari ini wallahul musta’an.

Begitu juga dalam Peperangan Hunain ketika mana tentera Islam merasa bangga dan kuat dengan bilangan mereka yang ramai tetapi ternyata kekuatan mereka itu tidak dapat mengalahkan musuh.

Allah berfirman,

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan pertempuran dan di medan Perang Hunain; iaitu ketika kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; (tetapi) ternyata bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri” (Al-Taubah, 25).

Hanya apabila mereka sedar akan kesalahan mereka itu dan mereka insaf dan bertaubat barulah kemenangan Allah turun sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat berikutnya,

ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

“Kemudian Allah menurunkan ketenangan atas RasulNya dan orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran mereka); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang kafir” (Al-Taubah, 26).

Betapa perlunya Umat Islam menginsafi hakikat ini dan tidak terburu-buru turun ke medan pertempuran sedangkan mereka belum lagi melaksanakan syarat-syarat yang diperlukan untuk mendapatkan kemenangan serta pertolongan daripada Allah.

Asas-asas Islam yang berpaksikan akidah dan tauhid perlu diterapkan di kalangan Umat Islam. Akidah tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan menjauhi segala bentuk syirik dan kufur perlu disebarkan. Kepercayaan khurafat, sihir, bomoh dan tangkal azimat yang masih tersebar di kalangan masyarakat menunjukkan bahawa Umat Islam belum bersedia untuk jihad. Amalan mendatangi kubur dan menyeru roh orang yang mati masih lagi wujud. Ini semua perlu dibasmikan kerana ia akan menjadi penghalang buat kemenangan orang Islam di medan pertempuran.

Di samping akidah, amalan-amalan ibadah masyarakat perlu terus dimantapkan agar selari dengan Sunnah Nabi sallalahu alaihi wasallam dan sejajar dengan petunjuk amalan para Sahabat radiallahu anhum. Begitu juga dalam akhlak dan muamalah.

Ini yang telah dilakukan oleh Nabi sallalahu alaihi wasallam sepanjang 13 tahun Baginda di Mekah tanpa merasa bosan mahupun jemu. Baginda terus memantapkan asas-asas Agama yang bertunjangkan akidah dan tauhid di kalangan para Sahabat radiallahu anhum. Tidak pernah sedikitpun terlontar di lidah Baginda tentang jihad menentang orang kafir Quraisy yang saban hari terus menyiksa orang Islam dan menzalimi mereka.

Hanya sesudah berhijrah ke Madinah, mendirikan negara Islam dan memperoleh kekuatan barulah pensyariatan jihad turun ke atas Umat Islam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Kajang, 16 Ramadan 1435H / 14 Julai 2014
[email protected]