USTAZ PROF. MADYA DR. FADLAN BIN MOHD OTHMAN
Kitab Manhaj at-Talaqqi wal Istidlal baina Ahlus Sunnah wal Mubtadi’ah Methodologi Pengambilan Ilmu & Pengolahan Dalil antara Ahli Sunnah & Ahli Bid’ah) tulisan Syaikh Ahmad bin Abdur Rahman As-Suwaiyan – Siri 12

TARIKH : Isnin (17 Mac 2014)
MASA : Selepas Isyak
TEMPAT : Tingkat 14, Bangunan Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam

USUL-USUL ILMIAH UNTUK MEMAHAMI NAS-NAS SYARIAH DAN MEMPELAJARINYA

Di antara usul-usul ilmiah yang wajib disandarkan kepadanya di dalam memahami nas-nas Syariah dan mempelajarinya:

PERTAMA : Bersandarkan kepada tatacara para Sahabat -رضي الله عنهم-

Para Sahabat -رضي الله عنهم- mempunyai kedudukan yang agung. Allah -تعالى- telah memuliakan mereka, meninggikan kedudukan mereka, mengangkat nilai dan darjat mereka, memperakui kebaikan mereka dari atas tujuh langit. Allah -تعالى- berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia” (Surah At-Taubah, ayat 100)

Allah -تعالى- berfirman:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Abdullah Ibnu Mas’ud -رضي الله عنه- telah berkata:

“Sesiapa yang mengambil teladan, maka ambillah teladan pada mereka yang telah mati, kerana yang hidup tidak aman fitnah terhadapnya. Mereka itu sahabat-sahabat Muhammad -صلى الله عليه وسلم-, mereka adalah golongan terafdhal umat ini; paling baik hati di kalangannya, paling dalam pengetahuan di kalangannya, paling sedikit memberat-beratkan di kalangannya, dan paling lurus petunjuk, dan paling baik keadaannya. Satu kaum yang dipilih oleh Allah untuk mendampingi Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Oleh itu, kenali untuk mereka kelebihan mereka, ikutilah mereka di dalam kesan-kesan mereka, berpeganglah dengan apa yang kamu terdaya dari akhlak dan agama mereka, kerana sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk yang lurus.”

[Jamie’ Bayan Al-Ilm wa Fadlih : 2/947, no. 1810]

Telah berkata Abu Muhammad Ibnu Hazm:

“Siapakah yang Allah -عز وجل- khabarkan kepada kita bahawa Dia mengetahui apa yang di dalam hati mereka, Dia meredhai mereka, dan Dia turunkan ketenangan ke atas mereka? Tidak boleh seseorang teragak-agak mengenai keadaan mereka atau syak terhadap mereka sama sekali.”

[Al-Fasl fi Al-Milal wa An-Nihal : (4\148)]

Demi kerana ini, sesungguhnya kefahaman petunjuk-petunjuk Kitab dan Sunnah, hanyalah diambil daripada para Sahabat -رضي الله عنهم- kerana di tengah-tengah merekalah Rasul -صلى الله عليه وسلم- telah berkata-kata, ke atas merekalah turunnya Kitab. Merekalah manusia yang paling mengetahui kehendak Allah -تعالى- dan kehendak Rasul-Nya -صلى الله عليه وسلم-, khususnya setelah menjadi banyak bid’ah-bid’ah, menjadi sedikit ilmu, menjadi rosak kefahaman, dan diabaikan Sunnah. Telah sah daripada Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- kata-kata baginda:

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup dari kalangan kamu, maka dia akan melihat percanggahan yang banyak. Oleh itu, hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan sunnah para khalifah berpetunjuk yang diberi hidayah selepasku, gigitlah ia dengan geraham. Hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diadakan, kerana setiap yang diada-adakan adalah bid’ah.”

[Dikeluarkan oleh Ahmad: (4/127-128), Abu Daud : 4607 dan At-Tirmizi (2676)]

Berkata Ibnu Taimiyah :

“Orang-orang Islam memerlukan dalam Akidah kepada dua perkara: salah satunya adalah: Mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya -صلى الله عليه وسلم- melalui lafaz-lafaz Kitab dan Sunnah; dengan mengetahui bahawa Al-Quran yang ia turun dengannya, mengetahui apa yang dikatakan oleh para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, juga apa yang dikatakan oleh seluruh para Ulama orang-orang Islam mengenai makna lafaz-lafaz tersebut. Kerana Rasul -صلى الله عليه وسلم- apabila baginda menujukan kepada mereka dengan Kitab dan Sunnah, baginda mengenalkan kepada mereka apa yang dikehendaki dengan lafaz-lafaz berkenaan. Pengetahuan para Sahabat mengenai makna-makna Al-Quran, lebih besar daripada hafalan mereka terhadap huruf-hurufnya. Mereka telah menyampaikan makna-makna tersebut kepada para Tabi’in lebih daripada mereka menyampaikan huruf-hurufnya..”

[Al-Fatawa: 17\353]

Ibnu Taimiyah juga berkata:

“Sesiapa yang mentafsirkan Al-Quran dan Al-Hadis serta mentakwilkannya mengikut tafsiran yang tidak diketahui daripada Sahabat dan Tabi’in, maka dia telah membuat pembohongan ke atas Allah, menyimpang terhadap ayat-ayat Allah, menyeleweng kata-kata daripada kedudukan-kedudukannya. Ini adalah pembukaan bagi pintu kesesatan dan ateisme, serta ia sedia maklum terbatal secara pasti pada agama Islam.”

[Majmuah Ar-Rasaail Al-Muniriyah : (1\236-237)]

Ibnu Taimiyah juga berkata:

“Sesiapa yang menyalahi kata-kata mereka, dan menafsirkan Al-Quran dengan yang mencanggahi tafsir mereka; maka dia telah tersalah pada dalil dan makna serentak.”

[At-Tafsir Al-Kabir oleh Ibnu Taimiyah : (2\229)]

Berkata Ibnu Rejab Al-Hanbali:

“Ilmu yang bermanfaat daripada ilmu-ilmu ini seluruhnya adalah: memelihara nas-nas Kitab dan Sunnah, memahami makna-maknanya, dan terikat dengan yang diwarisi daripada Sahabat, Tabi’in dan pengikut-pengikut mereka, pada makna-makna Al-Quran dan Al-Hadis, juga pada kata-kata yang datang daripada mereka dalam masalah-masalah halal dan haram, kezuhudan dan kelembutan hati, pengetahuan-pengetahuan dan lain-lain. Berusaha untuk membezakan yang sahihnya daripada yang daifnya mula-mula sekali, kemudian yang kedua berusaha untuk mengetahui makna-maknanya dan memahamkannya. Di dalam yang dimikian adalah memadai untuk sesiapa yang berakal, dan kesibukan untuk sesiapa yang mengambil berat dan bekerja dengan ilmu yang bermanfaat.”

[Fadhl Ilm As-Salaf ala Al-Khalaf (m/s:150)]

As-Syatibi berkata:

“…kerana ini, golongan Salaf yang soleh -dari kalangan Sahabat, Tabi’in dan yang selepas mereka- adalah yang paling mengetahui tentang Al-Quran, ilmu-ilmunya dan apa yang tersimpan di dalamnya…”

[Al-Muwafaqaat : (2\79)]

Ibnu Abdul Hadi berkata:

“Tidak boleh mengada-adakan takwilan pada ayat atau Sunnah yang tidak pernah ada pada zaman Salaf, mereka tidak mengenalnya dan tidak pula menjelaskannya pada Umat. Kerana ini adalah menyimpan makna; bahawa mereka tidak mengetahui kebenaran pada perkara ini, dan tersesat daripadanya, sedangkan mendapat hidayah kepadanya penentang yang terlewat ini.”

[As-Sorim Al-Munki : (m/s 427)]

Berkata Ibnu Abi Al-Izz Al-Hanafi:

“Bagaimanakah boleh bercakap di dalam usul agama, orang yang tidak menerimanya daripada Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi menerimanya dari kata-kata si fulan?! Apabila dia menyangka bahawa dia mengambilnya dari Kitab Allah, dia tidak menerima tafsir Kitab Allah daripada hadis-hadis Rasul, dia tidak melihat padanya, dan tidak pula pada apa yang dikatakan oleh para Sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, yang dinukilkan kepada kita melalui orang-orang yang dipercayai nukilan, yang mereka dipilih oleh Ulama-ulama yang teliti. Mereka tidak menukilkan rangkap-rangkap Al-Quran sahaja, bahkan mereka menukilkan rangkap-rangkap dan makna-maknanya. Mereka tidak mempelajari Al-Quran sebagaimana kanak-kanak mempelajari, bahkan mereka mempelajarinya dengan makna-maknanya. Sesiapa yang tidak mengikuti jalan mereka, dia hanyalah bercakap dengan pendapatnya, dan sesiapa yang bercakap dengan pendapatnya dan apa yang dia sangka agama Allah, sedangkan dia tidak menerima perkara tersebut dari Kitab, maka dia telah berdosa sekalipun dia betul.”

[Syarh Al-Aqidah At-Tahawiah (m/s 212)]

Video Penuh & Teks Kitab : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-manhaj-at-talaqqi-wal-istidlal-baina-ahlus-sunnah-wal-mubtadiah-siri-12/

SEGMEN PILIHAN

– “Alangkah Baik Sekiranya Aku Berada di Zaman Nabi” : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-alangkah-baik-sekiranya-aku-berada-di-zaman-nabi/

– Penggunaan Radhiyallahu ‘Anhu, Rahimahullah & Hafizahullah : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-penggunaan-radhiyallahu-anhu-rahimahullah-hafizahullah/

– Ibnu Mas’ud : Menjadikan Para Sahabat Sebagai Teladan : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-masud-menjadikan-para-sahabat-sebagai-teladan/

– Ibnu Hazm : Tidak Boleh Ada Keraguan Terhadap Para Sahabat : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-hazm-tidak-boleh-ada-keraguan-terhadap-para-sahabat/

– Berpegang Teguh dengan Sunnah di Saat Banyak Bid’ah di Sekeliling : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-berpegang-teguh-dengan-sunnah-di-saat-banyak-bidah-di-sekeliling/

– Ibnu Taimiyyah : Para Sahabat Paling Faham Al-Quran & Hadis : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-taimiyyah-para-sahabat-paling-faham-al-quran-hadis/

– Hanya Memilih Pendapat yang Ringan adalah Perbuatan Zindiq : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-hanya-memilih-pendapat-yang-ringan-adalah-perbuatan-zindiq/

– Salah Faham Terhadap Dalil Perintah Sa’i antara Safa dan Marwah : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-salah-faham-terhadap-dalil-perintah-sai-antara-safa-dan-marwah/

– Ibnu Rejab Al-Hanbali : Apakah Ilmu yang Bermanfaat? : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-rejab-al-hanbali-apakah-ilmu-yang-bermanfaat/

– Ibnu Abi Al-Izz : Bercakap Tentang Al-Quran Menggunakan Akal : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-abi-al-izz-bercakap-tentang-al-quran-menggunakan-akal/

– Ibnu Abdul Hadi : Tidak Boleh Melakukan Takwil yang Tidak Ada pada Zaman Salaf : https://www.ilmusalaf.com/2014/03/ustaz-fadlan-othman-ibnu-abdul-hadi-tidak-boleh-melakukan-takwil-yang-tidak-ada-pada-zaman-salaf/

Kepada sesiapa yang ingin mendapat update sekaligus ingin share update terbaru dari Ilmu salaf dot com ke wall masing², boleh klik di sini: http://www.networkedblogs.com/blog/ilmusalafdotcom

– Klik “Syndication” di sebelah kiri
– Klik “Grant Permissions
– Klik “Add Facebook Target” dan klik “Add

* selepas proses ini, setiap update video terbaru akan terus share di wall anda secara automatic. InsyaAllah…

www.ilmusalaf.com
www.facebook.com/ilmusalafdotcom
www.facebook.com/groups/501756696521984/
www.youtube.com/user/ilmusalafdotcom
www.twitter.com/ilmusalafdotcom